Monday, May 10, 2021

INOVASI SOSIAL BERKENAAN DENGAN PERPADUAN

 AHLI KUMPULAN : 

ADIB HUSAINI B OMRI | 04DUB20F2004

THISEN A/L MAHRAN | 04DUB20F2033

MUHAMMAD FAHMI B MOHD FAZLEE | 04DUB20F2013

TUAN MOHAMAD SHAHLIMAN BIN MOHD NAZEMI | 04DUB20F2041


                                                     PERANAN INOVASI SOSIAL


PENGENALAN INOVASI SOSIAL BERKENAAN DENGAN PERPADUAN :

Pada awal kemunculan, inovasi tertumpu kepada pembangunan inovasi yang berteraskan ekonomi. Kebanyakan kajian dijalankan bertujuan untuk memahami keperluan, proses dan kesan inovasi teknologi dalam pembangunan pengetahuan dan kajian inovasi yang menyumbang kepada pembangunan bandar (Mansfield, 1991; Hogan & Coote, 2014; Striukavo & Rayna, 2015; Enkel et al., 2017). Kewujudan inovasi sosial merupakan idea baru dan praktikal bagi memenuhi keperluan sosial yang belum dipenuhi ( Mulgan, 2006; The Hope Institute, 2017). Jurang antara Keluaran Dalam Negeri Kasar (Gross Domestic Product/GDP) dengan Indeks Kebajikan Ekonomi Mampan (Index of Sustainable Economic Welfare/ISEW) dikenali sebagai Indikator Kemajuan Tulen (Genuine Progress Indicator/GPI) di kebanyakan negara menunjukkan pembangunan ekonomi dan sosial adalah tidak stabil (Pulselli et al., 2006; Hochgerner, 2014). Berdasarkan Indeks Inovasi Sosial 2016, Amerika Syarikat merupakan negara yang memperoleh skor keseluruhan tertinggi, iaitu 79 daripada 100. Pengukuran indeks kapasiti inovasi sosial dijalankan terhadap 45 negara adalah berdasarkan empat elemen, iaitu polisi dan kerangka institusi, kewangan, keusahawanan dan masyarakat. Amalan inovasi sosial di barat jauh lebih efektif berbanding di Asia (The Hope Institute, 2017). Malaysia memperoleh skor 47.5% bagi keseluruhan skor dengan skor tertinggi dalam elemen polisi, iaitu tempat ke 22 berbanding ke-24 secara keseluruhannya. Malaysia mempunyai kerangka polisi yang strategik dalam pelaksanaan inovasi, namun masih mengalami kelemahan dalam melaksanakan polisi yang dibentuk (EPU, 2016).

      Sejarah pembangunan negara selepas kemerdekaan tertumpu kepada ketidakseimbangan ruang dan pembangunan ekonomi masyarakat. Penekanan terhadap pembangunan bandar berteraskan teknologi bermula sejak Rancangan Malaysia ke-5 (1986-1990). Pelbagai dasar dan strategi dirangka dan dibangunkan sehingga Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) yang berorientasikan taman sains, globalisasi, pengetahuan, inovasi dan berpendapatan tinggi (Malaysia, 2006; EPU, 2010). Manakala, pada Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), kesejahteraan dan pembangunan berpaksikan rakyat ditekankan dalam dasar pembangunan (Unit Perancang Ekonomi, 2015). Isu kualiti dan kesejahteraan masyarakat diberi penekanan selari dengan keperluan kepada inovasi sosial dalam membentuk keseimbangan pembangunan ekonomi dan sosial.

                                     KEMUNCULAN INOVASI SOSIAL :



 Konsep dan penyelidikan berkenaan inovasi berkembang ( Mansfield, 1991; Etzkowitz, 2003; Yeşil et al., 2013) dan mendalam melebihi paradigma berorientasi teknologi yang terbentuk melalui masyarakat industri (Williams & Edge, 1996; Geels, 2004; Perry, 2006; Theodorakopoulos et al., 2012). Deklarasi Vienna 2011 terhasil selepas 100 tahun Schumpeter membentuk Teori Ekonomi Inovasi. Peralihan sektor perindustrian kepada pengetahuan dan perkhidmatan berasaskan masyarakat (van der Have & Rubalcaba, 2015). Anjakan paradigma meningkatkan kepentingan inovasi sosial berbanding inovasi teknologi (Franz et al., 2012). Teknologi inovasi memerlukan inovasi sosial dalam menyempurnakan pembangunan inovasi dan pengetahuan dalam sesebuah bandar (Geels, 2004; Klein et al., 2010; van der Have & Rubalcaba, 2015). Fagerberg (2012) menyatakan integrasi inovasi sosial dalam kajian inovasi didefinisikan sebagai kajian ilmiah bagaimana inovasi berlaku dan apa faktor penting yang memberi kesan kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar (van der Have & Rubalcaba, 2015).

                              DEFINISI INOVASI SOSIAL :
Inovasi sosial merujuk kepada aktiviti dan perkhidmatan inovatif yang didorong dengan matlamat memenuhi keperluan sosial dan kebanyakannya tersebar melalui organisasi yang tujuan utamanya adalah sosial (Mulgan, 2006). Sementara itu, Unceta et al. (2016) mendefinisikan ia sebagai produk baru, proses dan kaedah yang dibangunkan secara kreatif dan lestari, menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada satu atau beberapa permintaan sosial. Manakala Howaldt et al. (2016) menyatakan konsep inovasi sosial melibatkan hubungan teknologi dan inovasi perniagaan bertujuan memenuhi tuntutan sosial, memenuhi cabaran masyarakat dan perubahan sistematik yang ditangani oleh pelaku, rangkaian dan urus tadbir (termasuk peranan usahawan sosial, rangkaian, penglibatan pengguna) perubahan sosial dan pembangunan melalui proses dinamik. Definisi ini menunjukkan perbincangan inovasi sosial sering dikaitkan dengan elemen ekonomi dengan mengetengahkan keusahawanan sosial. Usahawan sosial merupakan sebahagian daripada inovasi sosial. Keusahawanan dalam kajian inovasi merupakan pengukuran kepada limpahan pengetahuan yang memberi impak kepada masyarakat seperti yang dibincangkan dalam teori limpahan pengetahuan keusahawanan (Acs et al., 2013; Shu et al., 2014).

    Konsep inovasi lebih menyeluruh melalui definisi Hochgerner (2014), iaitu amalan baru untuk menyelesaikan cabaran masyarakat, yang diterima pakai dan digunakan oleh individu, kumpulan sosial dan organisasi yang terlibat. Ia digunakan untuk merujuk kepada idea-idea baru (produk, perkhidmatan dan model) yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan sosial yang tidak dipenuhi (The Young Foundation, 2012; Matei & Antonie, 2015). Inovasi sosial mempengaruhi tingkahlaku sosial, cara pemikiran, tindakan dan perlakuan seseorang secara bersendirian ataupun bersama (Franz et al., 2012). Definisi diguna pakai dalam konteks menilai pembangunan inovasi sosial dalam kalangan akademia. Peranan akademia secara mutlaknya adalah menjana idea-idea baru melalui penyelidikan dan diterjemahkan dalam konteks inovasi yang memberi impak kepada kesejahteraan masyarakat melalui pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar (Paleari et al., 2014).

                      PEMBANGUNAN INOVASI SOSIAL :



Kemunculan inovasi sosial adalah rentetan daripada teori pembangunan inovasi yang diilhamkan oleh Schumpeter pada tahun 1911 (Hochgerner, 2014). Kesemua inovasi adalah relevan terhadap masyarakat dan sosial tetapi bukan semua inovasi merujuk kepada mekanisme ekonomi dan proses teknikal. Isu-isu perubahan sosial, pembangunan, krisis sosial, cabaran sumber dan penyelesaian memerlukan perubahan daripada inovasi berorientasikan ekonomi kepada orientasi sosial dan masyarakat. Malah elemen ekonomi terletak dalam perbincangan kesejahteraan masyarakat (Howaldt et al., 2016). Pelbagai inisiatif, organisasi, polisi dan institusi diwujudkan untuk membincangkan inovasi sosial. Antara yang terawal ialah Institute of Social Invention London (1985), Centre for Social Innovation Vienna (1990), Social Innovation Ltd. Dortmund (1994) dan Centre for Social Innovation Stanford U (2000) (Hochgerner, 2014). Inisiatif pembangunan inovasi sosial di Asia yang memberi impak tinggi adalah Asian Social Innovation Award, Hong Kong (2011). Secara amnya, inovasi sosial dibincangkan secara mendalam semasa Pameran dan Persidangan Inovasi Kebangsaan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, di Malaysia pada 2 November 2014. 

    Kajian terhadap masyarakat bertujuan mengenal pasti keperluan masyarakat yang wujud dengan memberi keutamaan kepada keperluan mendesak yang belum dipenuhi. Theoretical, Empirical and Policy foundation for Social Innovation in Europe (TEPSIE) menggariskan lima elemen dalam teras pembangunan inovasi sosial, iaitu pembaharuan, pelaksanaan idea, memenuhi keperluan masyarakat, keberkesanan dan meningkatkan keupayaan masyarakat bertindak. Pertama, pembaharuan bukan bermakna kebaharuan sejagat atau mutlak, tetapi menjurus kepada penerimaan sesuatu yang baru dalam konteks politik, sosial atau budaya di mana kes-kes inovasi sosial timbul. Walaupun bagi sesetengah perkara ia telah tersebar dan diterima di negara lain, tetapi boleh dianggap baru di peringkat tempatan sekiranya ia tidak wujud sebelumnya. Kedua, pelaksanaan idea melalui penerapan praktikal idea inovasi sosial. Idea yang dicipta dan diuji harus diterapkan ke lapangan untuk memenuhi syarat sebagai inovasi sosial. Hal ini juga membayangkan bahawa aplikasi tersebut perlu mapan.

    Ketiga, memenuhi keperluan masyarakat. Penyelidikan yang memenuhi keperluan masyarakat dan hasil yang efektif menggambarkan kejayaan inovasi sosial. Keempat, keberkesanan, iaitu elemen fokus kepada idea inovasi sosial yang berkesan dalam bentuk hasil (seperti kualiti, kepuasan, kos dan kesan) berbanding penyelesaian yang ada. Kelima, meningkatkan keupayaan masyarakat untuk bertindak. Inovasi sosial dicapai bukan sahaja dengan memenuhi keperluan sosial yang tidak terpadam dengan cara yang berkesan, tetapi juga dengan menerapkan proses inovatif terhadap seluruh masyarakat. Sesungguhnya, inovasi sosial merangkumi proses inklusif yang melibatkan pengguna, pihak berkepentingan, minoriti dan orang terpinggir untuk meningkatkan kapasiti masyarakat keseluruhannya kerana ia akhirnya berkaitan dengan dimensi pemberkasakan inovasi sosial dan ketahanan masyarakat (The Hope Institute, 2017).

   Howaldt et al. (2016) menggariskan lima dimensi utama dalam inovasi sosial. Pertama, mengenalpasti keperluan dan cabaran masyarakat. Kedua, sumber, keupayaan dan konstrain yang ada untuk membangunkan inovasi sosial. Ketiga inovasi sosial memerlukan proses dinamik, ia melibatkan strategi sosial yang kreatif (Pue et al., 2016). Keempat adalah mewakili eleman pelaku, hubungan jaringan dan urus tadbir yang merupakan aktor penting dalam pelaksanaan inovasi sosial. Akhir sekali ialah konsep dan kefahaman inovasi sosial dalam kalangan pemegang taruh. Manakala, dimensi dan teras yang dibangunkan mesti bertujuan memenuhi kehendak dan keperluan sosial. 

                      PENGUKURAN INOVASI SOSIAL


Pembangunan memerlukan pengukuran untuk mengetahui tahap dan keupayaan sesuatu perkara. Justeru, bagi membentuk sistem pengukuran inovasi sosial terdapat empat cabaran yang perlu diselesaikan (Lee, 2014). Pertama, perlu membuktikan inovasi sosial efektif dan secara mapan terhadap tindak balas kepada keperluan masyarakat, terutamanya apabila masalah sosial wujud, inovasi sosial memainkan peranan penting dalam membentuk daya saing dari segi ekonomi dan masyarakat. Kedua, menggambarkan peruntukan wang awam serta menarik sumber pembiayaan awam dan swasta. Hal ini memerlukan pemahaman bersama mengenai apa yang 'inovasi sosial dan kesan sosial yang boleh diukur'. Ketiga, dasar berasaskan bukti memerlukan bukti mengenai impak yang diharapkan dari tindakan yang terlibat. Akhirnya, inovasi sosial dapat membuka jalan untuk membangunkan kelebihan daya saing baru untuk ekonomi. Cabaran ini menunjukkan bahawa penciptaan nilai sosial dan lingkungan adalah pusat kepada kemapanan manusia dan ekologi masyarakat. Pengukuran inovasi sosial dinilai melalui pendekatan peringkat individu, organisasi dan wilayah/negara (Unceta et al., 2016). Berdasarkan kajian lepas, terdapat beberapa kelemahan dalam pengukuran inovasi sosial, khususnya secara empirikal. Pendekatan individu ditekankan dalam konteks keusahawanan sosial dan pereka sosial dalam menangani masalah sosial yang kompleks ( Davis & Da Silva, 2011; Unceta et al., 2016).

   Kajian tertumpu terhadap motivasi, pengalaman dan usahawan sosial yang tidak menggambarkan matlamat inovasi sosial. Manakala, pengukuran antara pendekatan individu dan wilayah yang merupakan struktur perantara bagi individu daripada segi organisasi (Hamzah & Rashid, 2008). Akhirnya di peringkat wilayah, pengukuran dijalankan terhadap indikator yang boleh diukur, bukan kepada indikator yang perlu dan mesti diukur. Kajian terdahulu menunjukkan halangan kepada pembangunan inovasi terutamanya adalah pada peringkat pelaksanaan (Rogers, 1995; Agrawal, 2001; Gilman & Serbanica, 2015). Justeru, keupayaan penyerapan pengetahuan digunakan dalam kajian ini bertujuan untuk memahami teras dan proses kepada terbentuknya pembangunan inovasi berkesan (Davis & Da Silva, 2011; Enkel et al., 2017). Kajian ini, menggunakan pendekatan yang lebih meluas, tidak hanya tertumpu pada akademia yang terlibat dengan keusahawanan sosial sahaja, tetapi akademia secara menyeluruh. Inovasi berkesan bermaksud inovasi yang terhasil memberi impak positif kepada pengguna akhir.



                                        KESIMPULAN
Pengukuran pembangunan inovasi sosial berdasarkan teori keupayaan penyerapan dilihat dapat memenuhi teras inovasi sosial, iaitu pembaharuan, pelaksanaan idea, memenuhi keperluan masyarakat, keberkesanan dan meningkatkan keupayaan masyarakat dalam membentuk kesejahteraan masyarakat. Jurang keupayaan potensi inovasi sosial organisasi dan keupayaan kesedaran inovasi memerlukan pengukuran di peringkat individu agar teras pembangunan inovasi sosial dapat diperkukuhkan. Idea inovasi sosial yang berkesan adalah dalam bentuk hasil seperti kualiti, kepuasan, kos dan kesan, berbanding penyelesaian yang ada. Penyelidikan yang memenuhi keperluan masyarakat dan hasil yang efektif menggambarkan kejayaan inovasi sosial. Walaupun isu pembangunan sosial secara amnya telah lama diperdebatkan, namun daripada segi konsep inovasi ia masih baru terutamanya di negara sedang membangun. Justeru, penumpuan kepada pembangunan inovasi sosial diperlukan untuk menjana keseimbangan pembangunan agar keseluruhan masyarakat memperoleh manfaatnya.





MPU 23052 - PENGHASILAN DAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI GENETIK

  MPU23052 - SAINS TEKNOLOGI DAN KEJURUTERAAN ISLAM PENSYARAH : PN NORHAYATI BT MOHAMAD ----------------------------------------------------...